Karangan tentang gejala sosial #karanganspm
TEMA
4: GEJALA SOSIAL
Huraikan
pendapat anda tentang punca-punca yang menyebabkan masalah ini berlaku dan
tuliskan cadangan-cadangan tentang peranan ibu bapa dalam menangani gejala
tersebut.
Masalah gejala sosial semakin meruncing di negara kita sejak akhir-akhir
ini. Dalam surat khabar sering dipaparkan berita tentang golongan remaja yang
terlibat dengan gejala sosial ini. Gejala sosial dapat ditakrifkan sebagai satu
kemelut sosial dan kekeliruan yang timbul dalam kalangan remaja akibat daripada
perkembangan sosial, ekonomi dan politik yang pesat di negara ini. Contoh
gejala sosial yang berlaku ialah ponteng sekolah, remaja lari dari rumah,
penagihan najis dadah, vandalisme gengsterisme dan melepak. Masalah gejala
sosial ini telah menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemimpin sehingga
menimbulkan kebimbangan tentang masa depan para remaja. Menurut Hujatul Islam,
Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, sekiranya kita ingin melihat
masa depan negara, maka lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri
remaja maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, buruk diri remaja maka
hancurlah masa depan sesebuah negara. Persoalannya, apakah punca-punca yang
menyebabkan gejala sosial ini dan apakah cadangan-cadangan untuk menangani
gejala sosial ini?
Salah satu punca yang menyebabkan gejala sosial ialah ibu bapa yang
terlalu sibuk dengan kerjaya dan urusan seharian. Hal ini disebabkan oleh ibu
bapa tidak dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga. Keadaan
ini menyebabkan anak-anak berasa dirinya kurang diambil berat dan kurang diberi
perhatian oleh kedua-dua ibu bapanya. Sebagai contoh, ibu bapa tidak mempunyai
masa untuk bertanya masalah anak-anak sama ada di sekolah ataupun di rumah. Apa
yang menyedihkan, terdapat ibu bapa yang tidak bekesempatan langsung untuk
berbual-bual mesra dengan anak kerana semasa keluar untuk bekerja terlalu awal
dan apabila balik dari kerja, hari sudah malam dan ada kemungkinan anak-anak
telah memasuki untuk tidur. Ibu bapa mungkin bertembung sebentar semasa
bersarapan. Keadaan ibu bapa yang sibuk boleh mewujudkan kerenggangan antara
ibu bapa dengan anak-anak kerana anak-anak tidak mendapat sepenuh belaian kasih
sayang daripada ibu bapa. Menurut pakar psikologi, remaja yang tidak mendapat
belaian kasih sayang daripada ibu bapa mudah terlibat dalam masalah gejala
sosial seperti ponteng sekolah, melepak dan menonton video lucah. Jelasnya
anak-anak berbuat demikian untuk mendapatkan perhatian ibu bapa.
Selain itu, masalah gejala sosial berlaku kerana ibu bapa tidak
memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini berlaku
disebabkan oleh ibu bapa tidak mengambil berat tentang didikan agama terhadap
anak-anak. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mengharapkan pihak lain
terutamanya pihak sekolah dan guru memberikan didikan agama kepada mereka.
Pengabaian pendidikan agama akan menyebabkan remaja tidak mempunyai asas
panduan hidup dengan kukuh. Sebagai contoh, remaja mungkin hidup dalam keadaan
terumbang-ambing. Mereka tidak dapat menilai baik buruk sesuatu perkara yang
dilakukan oleh mereka. Remaja juga sanggup melakukan apa-apa sahaja dan mudah
terpengaruh dengan situasi yang kurang sihat. Kecetekan ilmu agama ini menyebabkan
remaja kurang kesedaran dan keinsafan diri sehingga menyebabkan mereka mudah
terjerumus dalam gejala sosial. Jelasnya, ibu bapa yang tidak memberikan
didikan agama yang sempurna kepada anak-anak turut menyumbang berlakunya
masalah gejala sosial.
Di samping itu, ibu bapa yang sering bergaduh dan
bertengkar di hadapan anak-anak turut menyumbang kepada kepincangan institusi
keluarga sehingga menyebabkan gejala sosial dalam kalangan remaja. Ibu bapa
yang sering bergaduh di hadapan anak-anak boleh menyebabkan anak-anak berasa
bosan dan menghadapi tekanan di rumah. Rumah bagi anak bagaikan neraka kerana
anak-anak tidak dapat menikmati kedamaian atau ketenangan di rumah. Anak-anak
akan menganggap ibu bapa tidak lagi mengambil berat tentang keadaan diri
mereka. Suasana ketegangan seperti ini menyebabkan wujudnya kerenggangan
hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak. Keadaan menjadi bertambah buruk
apabila kedua-dua ibu bapa bercerai-berai. Apatah lagi sekiranya, ibu bapa
tersebut telah berkahwin lain dan telah mempunyai anak dengan pasangan lain.
Anak-anak hasil perkahwinan yang pertama ini akan menjadi mangsanya. Mereka
kehilangan kasih sayang ibu bapa dan hidup tanpa belaian kasih sayang seorang
ayah atau ibu. Keadaan inj boleh menyebabkan jiwa anak-anak memberontak dan
sebagai jalan keluar, anak-anak mungkin mencari seseorang untuk meluahkan
perasaan dan melepaskan tekanan yang dihadapinya. Sebagai contoh anak-anak yang
kehausan kasih sayang daripada ibu bapa ini akan mudah terpengaruh oleh ajakan
rakan sebaya yang tidak baik. Keadaan ini boleh membawa anak-anak atau remaja
terjerumus dalam kancah gejala sosial. Tegasnya, kehidupan rumah tangga yang
tidak aman, sering bergaduh dan berpecah-belah turut menyebabkan anak-anak
terlibat dalam masalah gejala sosial.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor yang turut
mempengaruhi remaja terlibat dalam masalah gejala sosial. Ibu bapa yang terlalu
sibuk dengan kerjaya biasanya tidak ada tumpuan terhadap keluarga. Keadaan ini
menyebabkan anak-anak berasa kesunyian kerana tidak ada tempat untuk mengadu
atau menceritakan masalah yang dihadapi oleh mereka. Oleh sebab itu, anak-anak
akan mencari seseorang teman atau rakan sebaya untuk menceritakan masalah
mereka. Remaja yang tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa dan tidak
mendapat asas didikan agama akan lebih mudah terpengaruh oleh ajakan rakan
sebaya. Menurut pakar psikologi, anak-anak remaja lebih mudah meniru,
mencontohi dan terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya kerana mereka mempunyai
nilai, sikap, identiti dan perasaan yang hampir sama. Kumpulan rakan sebaya ini
biasanya mempunyai prinsip dan setiap ahli kumpulan akan akur dan patuh kepada
kumpulan tersebut. Kebanyakan remaja berasa bimbang kerana disingkirkan
daripada kumpulan rakan sebaya. Oleh sebab itu, remaja sanggup melakukan
apa-apa sahaja kehendak anggota kumpulan rakan sebaya. Sebagai contoh,
seandainya rakan sebaya mereka melepak atau ponteng sekolah, remaja tersebut
sudah pasti mencontohi kelakuan tersebut. Dalam hal ini, nasihat ibu bapa tidak
akan ambil peduli. Sekiranya, ibu bapa memarahi mereka, remaja ini sanggup lari
dari rumah mengikuti rakan sebaya mereka. Jelasnya pengaruh rakan sebaya yang
tidak baik turut menjerumuskan remaja dalam masalah gejala sosial.
Untuk menangani masalah gejala sosial ini,
ibu bapa perlulah memberikan sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap rumah
tangga dan anak-anak. Ibu bapa perlulah memberikan kasih sayang dan mengambil
berat tentang anak-anak. Ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dengan pihak
sekolah untuk menanyakan perkembangan diri anak-anak dan pelajaran mereka di
sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana rumah tangga yang
aman damai agar anak-anak dapat menyatakan “rumahku syurgaku”. Ibu bapa juga perlulah
mengelakkan pergaduhan di hadapan anak-anak supaya anak-anak akan menghormati
mereka. Ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak agar
anak-anak dapat mencontohi kelakuan ibu bapa mereka. Bak kata pepatah
“bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Apabila wujud kasih sayang terhadap
anak-anak,anak-anak akan berasa diri mereka dihargai dan diambil berat. Ibu
bapa yang berjaya memahami jiwa anak-anak dan ditambah pula dengan kemahiran
keibubapaan mampu wujudnya sebuah rumah tangga yang bahagia. Suasana ketenangan
dan dilimpahi kasih sayang dapat menjadi tarikan kepada anak-anak agar tidak
terjerumuskan diri dalam gejala sosial atau terpengaruh oleh ajakan rakan
sebaya yang tidak sihat.
Di
samping itu, ibu bapa juga perlulah memberi didikan agama yang secukupnya
kepada anak-anak sejak kecil. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari
rebungnya” dan “asas pendidikan bermula dari rumah”. Anak-anak ibaratkan
seperti sehelai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain putih
tersebut. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah memberi didikan agama kepada
anak-anak agar anak-anak dapat menghayati ajaran agama dan nilai murni dalam
kehidupan. Didikan agama yang sempurna mampu membentuk keperibadian dan budi
pekerti yang mulia kepada anak-anak. Sebagai contoh, anak-anak akan sentiasa
menyedari akan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak kerana mereka memiliki
keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi. Anak-anak akan sentiasa bertutur
dengan cara lemah lembut dan penuh hormat terhadap ibu bapa dan orang yang
lebih tua. Anak-anak yang ada asas didikan agama sentiasa akan menjaga tindak-
laku dan tidak akan meninggalkan solat dan mereka akan membesar sebagai seorang
remaja yang mempunyai pinsip dan jati diri serta tidak akan terpengaruh oleh
ajakan rakan sebaya yang tidak sihat. Jelasnya, didikan agama yang sempurna
mampu melahirkan anak-anak yang keperibadian mulia dan mereka akan berasa malu
sekiranya mereka melakukan sesuatu yang boleh mencontengkan arang ke arah muka
ibu bapa.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah
mengambil berat persahabatan anak-anak mereka dengan rakan sebaya. Hal ini
demikian kerana ibu bapa boleh mengawal disiplin mereka. Ibu bapa perlulah
memastikan anak-anak bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia. Dalam hal
ini, ibu bapa perlu mengetahui tujuan dan sebab-sebab anak-anak mereka keluar
rumah dan balik lewat ke rumah. Ibu bapa juga jangan terlalu memberi kebebasan
yang keterlaluan dalam bergaulan untuk memastikan anak-anak mereka tidak
terlibat dengan anak-anak yang bermasalah di sekolah atau di luar sekolah.
Selain itu, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dengan guru-guru kelas atau
guru pelajaran anak-anak mereka di sekolah untuk mengetahui tingkah laku dan
prestasi akademik mereka di sekolah. Menurut seorang Ahli Fikir Islam, Ibn
Sina, “hendaklah setiap ibu bapa meletakkan anak-anak mereka dalam kalangan
anak-anak kelakuannya yang berakhlak mulia”. Anak-anak yang sentiasa dikawal
oleh disiplinnya dan pergaulannya oleh ibu bapa sejak kecil, anak-anak ini akan
membesar dalam suasana yang baik dan berbudi pekerti mulia.
Berdasarkan perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa masalah gejala
sosial memang merupakan salah satu masalah yang meruncing dan perlu ditangani
segera oleh semua pihak terutamanya ibu bapa. Ibu bapa sebagai ketua keluarga
perlulah bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anak-anaknya. Saya
berharap anak-anak juga perlulah mempunyai kesedaran dan keinsafan serta tahu
menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka.
Tegasnya, masalah gejala sosial perlu ditangani daripada peringkat akar umbi
agar tidak menjadi barah dalam masyarakat sehingga menjejaskan nama baik negara
di persada masyarakat.
Comments
Post a Comment