Karangan SPM Teknologi Maklumat
Kesan-Kesan Teknologi Maklumat
(ICT)
Zaman beralih dan musim
berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke
Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini
sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT).
Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran
dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai
sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia
kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia
mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan
maklumat yang paling canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan
pelbagai implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif.
Kehadiran teknologi
maklumat merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik
menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi maklumat. Seluruh
dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya
teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah
dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru
dengan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik
darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya.
Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di surat khabar
menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak
dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan
tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk
meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Begitulah kelebihan
teknologi maklumat dalam bidang pendidikan.
Selain itu, dari segi
ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan
adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu cara
perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti
cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan
alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini,
istilah www.sesuatu.com.my bukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang
dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari
peringkat glokal malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat
Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak beberapa lama dahulu
ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan
mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa perkembangan
teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan.
Di samping itu,
kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran
industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak
membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan
cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya
e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan
negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di
pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman.
Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada
pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates,
insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali
sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer
persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang
paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah
bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi,
dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Dari segi sosialnya
pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat
Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada
di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan
ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh
diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan
dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang
rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja
mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas
daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya
pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet.
Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat
pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang
tiada tolok bandingnya?
Walau bagaimanapun,
pembangunan pesat teknologi maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya.
Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang boleh
menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah
pihak yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak
berasas dan berbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar
angin. Contohnya, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku
rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan
melalui internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi
rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa
kemudaratan kepada negara kita sendiri. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi
pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa
dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar
dibendung oleh sesiapa.
Teknologi maklumat juga
menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam kalangan generasi
muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam
internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran utama
peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang bersikap bagai
enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ingin mengaut keuntungan
besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan
bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai
belut diketil ekor dalam kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau
perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir
semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan
kafe siber di merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini
merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam kalangan
remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat sememangnya menyebarkan
unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.
Sebagai penutup bicara,
teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi
laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai
pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi
maklumat ini. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan
mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku
seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita
bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara
untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan
negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Sesungguhnya Saidina Ali Abi
Talib pernah berkata bahawa manusia yang berdagang dengan ilmu maka ilmunya
akan bertambah tetapi apabila manusia berdagang dengan harta maka hartanya
semakin berkurang.
Comments
Post a Comment