introducing almashoor islamic girls school in penang.

Dear friends

"I do not know the key to success, but the key to failure is trying to please everyone." - Bill Cosby

"Success is about creating benefit for all and enjoying the process. If you focus on this and adopt this definition, success is yours. "-Kelly Kim


📑 KARANGAN SPM AMALAN RUMAH TERBUKA

AMALAN RUMAH TERBUKA



            (TEMA) Rumah terbuka atau ‘open house’ sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan di negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Natal dan juga Hari Raya Aidilfitri. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga seluruh lapisan dan pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim dalam kehidupan mereka. (ISU) Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan sebanyak enam perayaan kaum atau agama dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri. (ARAHAN) Menyedari kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?

            (ISI 1) Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kepentingan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita. (MENGAPA) Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai erti perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. (BAGAIMANA) Jadi, setiap kaum seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang halangan dan kekangan yang perlu dibimbangi. (KESAN) Sehubungan dengan itu, perasaan muhibah antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. (PENEGAS) Tegasnya, konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.

            (ISI 2) Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat serta pemimpin sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama kaum memahami budaya kaum-kaum lain. (MENGAPA) Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain, memahami antara satu sama lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. (BAGAIMANA) Sebagai contoh, orang-orang India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. (KESAN) Hal ini dapat membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain serta budaya yang sihat juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Secara tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang. (PENEGAS) Pendek kata, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.

            (ISI 3) Selain kepada anggota masyarakat negara ini sendiri, penganjuran rumah-rumah terbuka juga merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang melancong di negara kita. (MENGAPA) Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan memahami sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. (BAGAIMANA) Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas. (KESAN) Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan industri pelancongan negara. (PENEGAS) Izharlah bahawa konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup di bawah payung keharmonian.

            (ISI) Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam hubungan kekeluargaan. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya amalan rumah terbuka ialah amalan ini merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini amat dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh dan padu, bukannya semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan silaturahim dan perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan hilang kepada generasi akan datang yang semakin tidak mengenali sanak-saudara mereka. (BAGAIMANA) Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah mesra dan dapat melepaskan kerinduan di samping mendapat perkembangan terkini antara satu sama lain. Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat dalam pertemuan ahli keluarga ini. (PENEGAS) Ringkasnya, hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika amalan rumah terbuka dibudayakan.

            (PENUTUP) Bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih banyak membawa kebaikan kepada negara dan masyarakat. (CADANGAN) Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap baru pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. (HARAPAN) Jika amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di dalam peta dunia namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada mata dunia.




KEBAIKAN DAN KEBURUKAN RUMAH TERBUKA YANG ANDA HADIRI



Satu hari di hari raya,
 Aku menangis tanda gembira,
 Aku menangis tanda kucinta,
 Kepada-Nya.

          Lirik lagu dendangan M. Nasir ini telah mengimbau kembali peristiwa sewaktu saya menghadiri majlis rumah terbuka yang dikendalikan oleh kerajaan Malaysia pada tahun lepas. Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri tersebut diadakan di Dataran Bandar Raya Johor Bahru yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 11 malam. Sambutan majlis gilang-gemilang ini sangat meriah dan hangat kerana dihadiri oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada multietnik. Acara ini sungguh istimewa kerana dihadiri oleh Menteri Besar Johor, YB Dato Haji Abdul Ghani bin Othman bagi bersama-sama memeriahkan suasana. Tidak dilupakan penyanyi jemputan iaitu Jamal Abdilah turut hadir untuk menghiburkan para tetamu yang sedang menjamu selera. Para pengunjung tidak putus-putus datang bagi menghadiri majlis yang julung-julung kali diadakan ini. Persoalannya di sini, mengapakah kerajaan begitu beriya-iya menganjurkan majlis seumpama ini sehingga turut dihadiri oleh pelbagai kaum padahal perayaan Hari Raya Aidilfitri disambut oleh umat Islam? Oleh yang demikian, kebaikan dan keburukan rumah terbuka yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan lebih terperinci demi kebaikan semua.

          Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menganjurkan majlis rumah terbuka yang dapat dihadiri oleh pelbagai kaum. Sebenarnya, objektif utama kerajaan mengadakan rumah terbuka ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana dengan kehadiran masyarakat sejagat yang berbilang kaum, ikatan perpaduan antara mereka dapat diperkukuh. Daripada realiti ini, dapat kita katakan bahawa rumah terbuka merupakan medium yang dapat menyatukan rakyat Malaysia yang berlainan bangsa seperti Melayu, Cina, India, Iban dan sebagainya. Situasi ini dapat dilihat apabila semua kaum berkumpul di satu tempat, mereka dapat bergaul dan beramah mesra antara satu sama lain. Melalui majlis ini, rakyat Malaysia dapat bertemu dan berkenal-kenalan dengan lebih dekat. Dengan cara ini, integrasi nasional akan dapat ditingkatkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dapat hidup di bawah satu bumbung dengan harmoni. Secara tidak langsung, perayaan yang julung-julung kali diadakan ini menjadi wahana integrasi rakyat pelbagai kaum yang membanjiri majlis rumah terbuka tersebut. Jadi, amalan ini baik dan wajar sekali diteruskan dari masa ke masa bagi menyemai perasaan muhibah dalam kalangan masyarakat.

          Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa kebudayaan sesuatu kaum dapat dilihat semasa berlangsungnya majlis rumah terbuka. Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat beruntung kerana tinggal di bumi Malaysia iaitu setiap kaum di Malaysia mempunyai budaya dan cara hidup yang unik. Kebudayaan tradisional yang telah wujud berabad-abad lama dahulu telah membentuk identiti rakyat Malaysia sehingga terkenal di mata dunia. Bertitik tolak daripada itu, pengunjung pastinya akan dapat menyaksikan keunikan sosiobudaya masyarakat Malaysia. Majlis rumah terbuka akan menjadi lebih menarik apabila sesuatu kaum mempersembahkan acara kebudayaan mereka. Persembahan yang unik dan mengagumkan ini boleh dijadikan simfoni budaya sebagai daya tarikan pelancong. Bukan itu sahaja, juadah yang bakal disajikan juga tentunya mencerminkan kebudayaan sesuatu kaum. Dengan ini, masyarakat Malaysia dapat menyelami budaya sesuatu kaum dengan lebih mendalam. Apabila mereka berpeluang mengenali adat dan kepercayaan suku kaum yang lain secara tidak langsung akan menimbulkan rasa hormat terhadap amalan bangsa lain. Oleh itu, jurang antara kaum dapat dirapatkan manakala tembok perbezaan dapat dirobohkan.

          Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah sambutan rumah terbuka turut mendatangkan keburukan. Contoh paling ketara yang sering kita saksikan ialah masalah kebersihan. Dalam konteks ini, kebersihan bermaksud bersih daripada segala kekotoran baik dari segi diri, pakaian mahupun tempat. Masalah kebersihan kerap timbul kerana segelintir pengunjung yang memandang enteng akan aspek kebersihan semasa berada dalam majlis tersebut. Kadangkala, terdapat penguujung yang membuang sampah dan sisa-sisa makanan di tempat yang tidak sepatutnya. Bagi majlis yang menggunakan pinggan dan cawan polisterina, pengunjung tanpa rasa bersalah hanya membuang pinggan dan cawan tersebut ke merata-rata tempat sehingga mencacatkan pemandangan. Selain itu, kebersihan tandas juga tidak begitu memuaskan. Situasi sedemikian boleh berlaku kerana tindakan sesetengah pengunjung yang bersikap tidak ambil peduli terhadap kebersihan persekitaran mereka. KIta tidak boleh menuding jari kepada pihak penganjur sahaja. Sepatutnya setiap pengunjung harus sedar dan bertanggungjawab menjaga kebersihan agar pengunjung lain berasa selesa. Tuntasnya, aspek kebersihan perlulah dititikberatkan dalam majlis rumah terbuka demi keselesaan dan kebaikan bersama.

          Sebagaimana yang kita ketahui, semasa majlis rumah terbuka juga ada pengunjung yang mementingkan diri sendiri. Fenomena ini dapat dilihat apabila pengunjung mangambil makanan, mereka tidak beratur dengan betul dan berebut-rebut. Malah, terdapat juga segelintir pengunjung yang tamak dengan mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak. Keadaan ini berlaku disebabkan sikap tetamu yang rambang mata sehingga mangambil makanan secara berlebihan tanpa memikirkan tetamu lain yang mungkin akan kekurangan makanan. Mereka juga mengambil makanan berlebihan sehingga tidak mampu dihabiskan kesemuanya. Situasi ini tentunya akan menyebabkan berlakunya pembaziran kerana makanan yang tidak habis itu dibuang begitu sahaja. Memandangkan keadaan yang sedemikian, ramai tetamu yang tidak berpeluang merasai makanan kerana tidak mencukupi padahal kerajaan telah pun menyediakan makanan yang banyak. Selain itu, terdapat juga pengunjung yang sengaja tidak memberi peluang kepada orang lain duduk walaupun mereka sudah selesai makan. Hanya kerana berebutkan makanan dan tempat duduk, sikap tolak ansur sanggup ditolak tepi disebabkan sikap mementingkan diri sendiri yang amat menebal dalam diri. Natijahnya, sikap mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing hendaklah kita kikis dalam menjalani kehidupan kita seharian.

         Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, konsep rumah terbuka perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat. Budaya mengadakan rumah terbuka telah diamalkan secara meluas dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana terbukti majlis ini banyak mendatangkan faedah. Jadi, setiap kekurangan yang ada perlu diperbaiki dari masa ke masa bagi memperoleh manfaatnya. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu sentiasa bermuafakat dalam melaksanakan sesuatu perkara. Semua pihak sama ada pihak kerajaan, pihak swasta atau orang perseorangan perlu berganding bahu bak aur dengan tebing untuk menjayakan program ini. Kesepakatan rakyat Malaysia pasti terserlah apabila mengadakan majlis seumpama ini. Dengan ini, kita dapat merealisasikan hasrat kerajaan iaitu untuk menyatupadukan masyarakat majmuk di Malaysia. Seandainya semua pihak berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, perkara ini pasti akan mencapai matlamatnya seperti yang diharapkan. Oleh yang demikian, program ini perlu diadakan lebih kerap dan diperluas ke seluruh negara.                  

Comments

  1. Thank you you kind soul

    ReplyDelete
  2. MINTA IZIN NAK GUNA....SEMOGA TERUS DIBERKATI....T.KASIH

    ReplyDelete
  3. isi sebiji sama dengan semua blog hahahahaha


    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts

Online Calculator Scientific