Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan #santapanminda
Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang
dapat memperlihatkan identiti nasional dan lambang bagi sesuatu bangsa atau
negara. Kedaulatan bahasa Melayu muncul kembali apabila bahasa Melayu dipilih
sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, Indonesia, Negara Brunei Darussalam dan
Singapura. Bahasa kebangsaan mempunyai kaitan rapat dengan sejarah
bangsa dan negara itu sendiri. Setiap negara yang merdeka perlu memiliki bahasa
kebangsaan yang dapat melambangkan identiti bangsa dan negara tersebut. Sesuatu
bahasa itu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan melalui penggubalan
undang-undang.
Fungsi utama bahasa kebangsaan
secara khusus adalah untuk menyerlahkan lambang inspirasi dan semangat
kebangsaan dan kemerdekaan. Tidak ketinggalan juga pengisian bahasa kebangsaan
juga dapat bertindak sebagai alat perhubungan dan seterusnya akan menghasilkan
satu kumpulan besar masyarakat yang mempunyai pandangan hidup yang hampir
sama. Bahasa kebangsaan juga adalah digunakan untuk perpaduan dalam
kalangan warganegara kerana mempunyai masyarakat yang berbilang kaum.
Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan
Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan. Sebuah negara yang merdeka memerlukan
satu bahasa kebangsaan untuk menjadi dasar satu identifikasi nasional.
Jawatankuasa yang merangka Perlembagaan Persekutuan yang diketuai oleh Lord
Reid sedar peri pentingnya bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia. Justeru,
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahasa Melayu
dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Bahasa kebangsaan perlu diwujudkan
dalam sesebuah negara kerana melambangkan identiti kebangsaan dan kedaulatan
negara. Bahasa kebangsaan juga berfungsi menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia
yang berbilang kaum serta membentuk satu bangsa Malaysia mempunyai identiti keperibadian
yang dibanggakan dan kesetiaan yang tinggi. Bahasa kebangsaan juga boleh
menggalakkan pertumbuhan corak kebudayaan kebangsaan dan alat komunikasi bagi
rakyat Malaysia yang mempunyai etnik yang menutur pelbagai bahasa.
Untuk memenuhi hasrat ini, pada
peringkat awal bahasa kebangsaan telah diperkenalkan sebagai satu mata
pelajaran di sekolah-sekolah. Kemudian, apabila kedudukan bahasa Melayu sudah
mentap dan menjadi keperluan untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat serta
memupuk keperibadian masyarakat, istilah ‘Bahasa Malaysia’ pula digunakan. Hal
ini bermakna, bahasa Malaysia merujuk kepada bahasa Melayu. Namun demikian,
istilah bahasa Melayu dan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan tetap tidak
berubah dan terus kekal dalam perlembagaan negara.
Comments
Post a Comment