Karangan SPM Tema PATI
Langkah-langkah Untuk Mengawal Kemasukan
Pendatang Tanpa Izin (PATI)
Pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara
kita telah meningkatkan keperluan buruh asing dalam pelbagai bidang utama.
Lantas, ratusan ribu penduduk dari negara jiran mengambil kesempatan memasuki
negara kita secara beramai-ramai. Kehadiran mereka telah mencetuskan
kebimbangan di kalangan pemimpin dan rakyat tempatan. Oleh yang demikian,
kehadiran mereka perlu dibendung dan diawasi.
Dalam usaha membendung kehadiran PATI,
pihak berkuasa wajar meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai
dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera laut
hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu. Pihak-pihak tersebut
harus lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk menyekat kemasukan
PATI. Mereka hendaklah menjalankan pemeriksaan lebih kerap di kawasan sempadan
yang mudah dicerobohi. Usaha seumpama ini akan menyukarkan kemasukan pendatang
tanpa izin lalu mengurangkan jumlah PATI di negara kita.
Seterusnya pihak polis perlu
meningkatkan penguatkuasaan undang-undang berhubung pekerja asing, terutamanya
yang masuk tanpa izin. Pihak berkuasa hendaklah sentiasa mengawasi dalang dan
sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Mereka yang
diberkas seharusnya dijatuhi hukuman yang berat termasuk hukuman mandatori.
Para pendatang asing yang ditahan ini harus dikenakan tindakan undang-undang
yang tegas agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan.
Di samping itu, semua pihak yang berkuasa
wajar melipatgandakan operasi-operasi mengesan, menahan dan menghantar semula
pekerjapekerja tanpa izin. Pelancaran operasi kerajaan seperti Operasi
Pemutihan dan Operasi Nyah amat berkesan dalam usaha membendung limpahan
pendatang asing tanpa izin. Operasioperasi seperti ini akan mengurangkan
kecenderungan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara kita. Walau
bagaimanapun, kejayaan dan keberkesanan operasi seumpama ini amat bergantung
kepada kerjasama dan sokongan orang ramai dan ketegasan pihak kerajaan.
Usaha-usaha menghalang limpahan pekerja
asing tanpa izin tidak akan mendatangkan kejayaan yang memberangsangkan jika
tidak disertai kerjasama masyarakat, terutamanya pihak majikan. Sesungguhnya
sikap majikan yang acuh tak acuh terhadap seruan kerajaan berhubung masalah
pendatang asing tanpa izin telah memburukkan keadaan. Golongan ini seharusnya
mengubah sikap demi kepentingan negara dan rakyat. Majikan hendaklah menggaji
pekerja asing yang memiliki visa dan permit kerja yang sah sahaja.
Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan
kerajaan negara jiran yang terbabit amat penting untuk membendung kemasukan
pendatang asing tanpa izin. Pihak kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri,
perlu menganjurkan rundingan tentang kawalan sempadan. Malahan adalah perlu
untuk mewujudkan pasukan bertindak bersama bagi menjamin kawalan sempadan yang
lebih efektif Selain itu, ejen-ejen yang sah perlu dilantik untuk mengendalikan
kemasukan pekerja asing secara lebih teratur dan terkawal.
Kesimpulannya, keperluan dan peranan
pekerja asing dalam pembangunan ekonomi negara kita memang tidak dapat
dinafikan. Namun demikian, limpahan pekerja asing terutamanya pendatang tanpa
izin yang tidak dikawal dan berterusan sudah tentu akan memudaratkan
kesejahteraan rakyat kita.
Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang
datang ke negara kita secara senyap-senyap sudah lama berlaku dan hal ini
menyebabkan kebanjiran pendatang berkenaan secara besar-besaran. Pelbagai usaha
dan tindakan tegas telah diambil oleh pihak berkuasa, misalnya pihak imigresen
yang mengetatkan pengawasan di sempadan negara dan tidak kurang juga tindakan
kerajaan untuk mengembalikan sebilangan besar pendatang asing yang tiada permit
ke negara mereka. Ekoran daripada tindakan tersebut, usaha pendatang asing
tanpa izin yang berniat untuk datang ke negara ini dapat dibanteras. Oleh hal
yang demikian, usaha itu haruslah diteruskan agar keamanan dapat dikekalkan di
negara kita.
Terdapat pelbagai kesan akibat
kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara ini. Salah satunya ialah kesan
negatif iaitu timbulnya masalah jenayah dalam kalangan mereka. Masalah jenayah
seperti rompakan, ragut dan sebagainya tidak dinafikan turut didalangi oleh
pendatang tanpa izin ini. Kehadiran mereka tanpa permit sukar untuk dikenal
pasti oleh pihak berkuasa. Lantaran itu, mereka sewenang-wenangnya menggunakan
kesempatan tersebu ibarat pepatah, "Sambil menyelam minum air", untuk
melakukan jenayah secara berselindung tanpa diketahui oleh pihak berkuasa
tempatan. Masalah jenayah sedemikian jika tidak dibanteras sudah tentu akan
menyusahkan masyarakat tempatan dan turut menyebabkan imej negara tercalar.
Kebanjiran pendatang asing tanpa izin
juga turut menyebabkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor khususnya sektor
pembuatan dimonopoli oleh pendatang tersebut. Tidak dinafikan migrasi pendatang
asing ini ke negara kita adalah berpunca daripada kurang peluang pekerjaan di
negara mereka. Oleh hal yang demikian, mereka mengambil kesempatan untuk
berhijrah ke negara jiran untuk mencari pekerjaan melalui sindiket pekerjaan
yang tidak sah. Kesanggupan mereka untuk bekerja di negara ini terbukti apabila
banyak sektor pembinaan yang menawarkan mereka pekerjaan sebagai buruh binaan
yang memenatkan. Walaupun begitu, seperti kata peribahasa, "Alah bisa tegal
biasa", kesusahan tersebut tidak menghalang mereka untuk terus bekerja,
tidak sama seperti rakyat negara ini yang tidak tahan dengan pekerjaan berat
tersebut.
Kesan lain akibat masalah tersebut ialah
keselamatan negara akan turut terancam dengan kehadiran beribu-ribu pendatang
asing tanpa izin. Hal ini demikian kerana, selain melakukan jenayah, kehadiran
mereka yang ramai serta kualiti kesihatan yang tidak dijaga turut menjejaskan
kesihatan rakyat tempatan. Penyakit berjangkit seperti selesema burung dan
pelbagai penyakit lagi yang memudaratkan kesihatan akan disebarkan secara tidak
langsung. Pemantauan seperti pemeriksaan kesihatan yang sepatutnya dilakukan
oleh imigran dari luar negara tidak dilakukan kerana kehadiran mereka ke negara
ini adalah secara haram dan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya. Akibatnya,
masyarakat tempatan akan berasa tidak selamat dengan persekitaran luar dan
berasa waswas untuk keluar bekerja dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai
cara untuk mengatasi masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara
kita iaitu salah satunya dengan menguatkuasakan undang-undang. Tidak dinafikan,
pendatang asing tanpa izin yang bolos ke negara kita disebabkan oleh bantuan
individu yang berkuasa kerana kegiatan rasuah yang menular. Oleh hal yang
demikian, setelah pelbagai inisiatif diambil, namun masih ada lagi kes
pendatang asing tanpa izin yang berjaya melepasi sempadan maka hal ini tidak
lain berkaitan dengan kegiatan rasuah yang berlaku dalam kalangan pihak berkuasa
yang menjaga sempadan negara. Oleh itu, tindakan tegas harus diambil oleh
kerajaan untuk membendung gejala ini. Penguatkuasaan yang ketat, misalnya
mengenakan denda yang berat kepada pesalah yang mendalangi kegiatan tersebut
serta mengembalikan pendatang asing tanpa izin ke negara asal mereka merupakan
antara langkah yang boleh diambil.
Masalah yang turut melibatkan hubungan
antara dua negara ini seharusnya diselesaikan secara diplomatik antara
kedua-duanya, misalnya negara Indonesia perlu menyokong dan mempersetujui
tindakan kerajaan Malaysia untuk menghantar sebilangan besar rakyat negara
tersebut yang tidak memiliki permit pekerjaan yang sah di negara ini tanpa
mengenakan tindakan berat kepada mereka. Negara Indonesia juga perlu menerima
keputusan jika Malaysia terpaksa mengenakan hukuman kepada sebahagian rakyat
negara jiran yang berkeras untuk tidak menyerah diri pada tarikh yang
ditetapkan. Kerjasama antara kedua-dua pihak ini pasti akan mengurangkan
masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara ini, seterusnya
hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara juga tidak akan terjejas.
Oleh hal yang demikian, kebanjiran
pendatang asing tanpa izin sememangnya membawa kesan yang negatif kepada
negara. Masalah ini sudah tentu akan menjadi lebih serius jika tidak ditangani
segera. Jadi, semua pihak haruslah berganding bahu untuk menangani masalah
tersebut. Selain itu kerjasama antara pihak berkuasa tempatan serta pihak
kerajaan kita dengan kerajaan negara jiran perlu ditingkatkan agar masalah rasuah
dalam kalangan pihak berkuasa tidak berlaku. Hal ini perlu dibanteras agar
tidak memburukkan keadaan lagi. Jika masalah tersebut dapat ditangani, sudah
tentu hal ini tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik antara negara yang
sudah sekian lama terjalin.
Kesan-kesan kemasukan buruh Asing Di
Malaysia
Penghijrahan buruh asing untuk mencari
rezeki di Malaysia telah menimbulkan berbagai-bagai kesan baik, kesan positif
mahupun kesan negatif. Kebanjiran pekerja asing dari negara jiran terutamanya
dari Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Pakistan ke Malaysia sesungguhnya
telah mendatangkan kesan dari segi ekonomi dan dari segi sosial. Jumlah pekerja
asing kini dianggarkan kira-kira 2.5 juta orang atau lebih kurang 10% daripada
28juta orang penduduk Malaysia. Rusuhan yang pernah dicetuskan oleh pekerja
Indonesia di depot tahanan Pekan Nenas, Johor dan sebuah kilang di Nilai
beberapa tahun dahulu sehingga sanggup membakar bangunan dan merosakkan
kenderaan polis telah membuka mata pihak pemerintah akan risiko yang terpendam
selama ini. Setelah menyedari hakikat itu, kerajaan telah mengambil beberapa
langkah khususnya operasi pembersihan untuk mengurangkan jumlah buruh asing
sehingga hanya merangkumi kira-kira 5% daripada jumlah penduduk Malaysia.
Salah satu kesan positif berikutan
kemasukan buruh asing itu ialah kemasukan buruh asing yang banyak boleh
dijadikan sebagai satu sumber tenaga kerja yang dapat menjana ekonomi negara.
Misalnya, sektor perladangan dan sektor pembinaan di negara ini sukar untuk beroperasi
jika ketandusan tenaga pekerja asing. Hal ini demikian kerana rata-ratanya
rakyat tempatan yang semakin tinggi cita rasanya sebagai akibat peningkatan
taraf hidup memang menganggap kerja-kerja dalam sektor-sektor berkenaan sebagai
kerja bawahan. Serentak dengan itu, memang tidak dapat dinafikan juga bahawa
sebahagian daripada pembangunan pesat yang dinikmati oleh negara kita sebelum
kegawatan ekonomi 1997-1998 telah ’disambungkan’ oleh kebanjiran pekerja asing.
Sekiranya kita lebih peka, akan kita akuri hakikat bahawa pekerja Indonesialah
yang menyabung nyawa di puncak bangunan, menaikkan kepingan konkrit dan ada
kalanya mengorbankan nyawa untuk membina bangunan-bangunan tinggi yang
tersergam indah dan menjadi kebanggaan negara seperti Menara Kembar Petronas
dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Namun begitu, kebanjiran buruh asing
telah meruncingkan masalah pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan. Seperti
yang kita maklumi, zaman ini zaman globalisasi. Kebangkitan kuasa ekonomi baru
terutamanya negara China dan India telah memberi saingan yang hebat kepada
Perusahaan Kecil dan Sederhana ( PKS ) tempatan yang gagal meningkatkan
produktiviti mereka. Sebagai akibat, majikan tempatan yang ingin mengurangkan
kos pengeluaran pula akan terus memberikan keutaman kepada pekerja asing yang
kononnya kurang cerewet, tidak menutut gaji yang tinggi dan sanggup bekerja
dalam tempoh masa yang lebih panjang jika dibandingkan dengan pekerja tempatan.
Serentak dengan itu, dilaporkan bahawa pendatang-pendatang asing khusunya
rakyat indonesia juga menjalankan perniagaan secara haram di negara kita.
Contohnya, siasatan telah menunjukkan bahawa lebih kurang 40% daripada 35000
gerai berlesen yang dikhususkan untuk penjaja tempatan khasnya Melayu di Lembah
Klang telah ”diambil alih” oleh pendatang asing. Lantaran itu, tidak
keterlaluan jika kita mengatakan bahawa ”periuk nasi” anak tempatan turut
dirampas oleh buruh asing.
Jika kita tinjau dari segi ekonomi,
kebanjiran buruh asing yang tidak terkawal juga didapati akan menggoyah
kemantapan ekonomi negara yang masih menjalani pengukuhan. Hal ini demikian
kerana apabila buruh asing bekerja dalam sektor perladangan, sektor pembinaan
atau dalam sektor-sektor lain, mereka akan mendapat upah. Lazimnya, mereka tidak
membelanjakan upah yang diperoleh di negara ini. Sebaliknya, sebahagian
daripada pendapatan mereka akan dihantar ke negara asal mereka bagi menampung
hidup keluarga masing-masing. Perangkaan menunjukkan bahawa kira-kira RM 6
billion telah mengalir keluar setiap tahun sebagai ekoran pengiriman wang ke
negara asal masing-masing oleh lebih daripada 2.5 juta orang pekerja asing yang
meliputi warga Indonesia, Pakistan, Filipina, Myanmar dan Bangladesh.
Sehubungan dengan itu, setiap tahun kerajaan juga dapati mebelanjakan lebih RM
2 juta untuk membiayai makanan pedatang tanpa izin dalam tahanan. Hal ini
nescaya akan menjejaskan imbangan pembayaran negara dan seterusnya membantutkan
segala usaha murni kerajaan dalam mengembalikan ekonomi negera ke landasan yang
sewajarnya.
Kemasukan buruh asing secara tidak
terkawal juga menjadi ’duri dalam daging’ yang mencetuskan pelbagai masalah
sosial dan mengancam ketenteraman masyarakat setempat. Pekerja-pekerja asing
terutamanya pendatang-pendatang tanpa izin yang masuk ke negara kita telah
mewujudkan perkampungan sendiri yang terasing daripada penduduk tempatan.
Misalnya, mereka telah didapati membina petempatan setinggan dengan meneroka
tanah rizab kerajaan secara haram. Laporan menunjukkan bahawa Kampung Pandan
Dalam yakini petempatan asing terbesar di Lembah Klang telah dihuni lebih
kurang 6000 orang pendatang tanpa izin. Hal ini akan mewujudkan
ketidaksefahaman malah ketegangan antara pedagang tanpa izin dengan penduduk
tempatan. Sejajar dengan itu, ada setengah-setengah buruh asing yang berani
mempersenda undang-undang dan adat setempat dengan membabitkan diri dalam
pelbagai jenayah seperti pergaduhan, rompakan, perogolan, pelacuran, perjudian
dan pembunuhan. Masalah-masalah sosial itu bukan sahaja membimbangkan penduduk
tempatan malah membebani kerajaan dalam usaha pembendungan.
Selain membabitkan diri dalam pelbagai
jenayah, kebanjiran burh asing juga mengancam kesihatan rakyat Malaysia secara
tidak langsung. Hal ini demikian kerana kajian menunjukkan bahawa Malaysia yang
telah disahkan bebas daripada beberapa jenis penyakit berbahaya seperti tibi
dan sifilis kini diserang semula penyakit-penyakit tersebut. Aliran
perkembangan yang meresahkan ini pula berlaku kebetulnnya sejak negara kita
mula menerima kemasukan buruh-buruh asing untuk mengisi kekosongan dalam
pelbagai sektor pada awal 90-an. Walaupun secara teorinya buruh asing yang
datang ke negara ini secara sah atau mempunyai permit diwajibkan menjalani
pemeriksaan kesihatan, namun hakikatnya banyak buruh asing yang didapati telah
melakukan penipuan tentang status kesihatan mereka terutamanya warga Indonesia.
Sebagai contohnya, mereka didapati membawa pelbagai penyakit berbahaya seperti
sifilis, tibi, malaria, barah, kusta, Aids dan Hepatitis B. Oleh sebab itu,
apabila rakyat tempatan bercampur gaul dengan buruh asing yang membawa penyakit
berbahaya, sudah pasti penyakit tersebut mudah menjalar kepada rakyat tempatan.
Kesimpulannya, memandangkan begitu
banyaknya kesan negatif yang ditimbulkan oleh kemasukan buruh asing, syor
kerajaan untuk membekukan pengambilan pekerja asing atau menyahkan
pekerja-pekerja terutama pekerja Indonesia yang menyalahgunakan keterbukaan
pihak berkuasa memang dialu-alukan. Lantaran itu. ”sebelum kudis menjadi
tolok”, pijak berkenaan khususya jabatan imigresen dan pihak Polis perlu
memperketat pengawasan di perairan negara dan pintu masuk ke Malaysia serta
menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada. Seiring dengan itu, kita perlu
sedar bahawa kita tidak boleh bergantugn kepada rakyat asing untuk selama-lamanya. Usaha-usaha yang terancang
perlu untuk mengelakkan Malaysia daripada dimanipulasi oleh orang-orang luar.
Atas kesedaran itu, semua pihak baik kerajaan mahupun swasta harus menggembleng
tenaga dan merangka stategi yang ampuh lagi bersepadu untuk menangani masalah
ini sampai akar umbinya agar tidak sampai ”kera di hutan disusui sementara anak
di rumah mati kebuluran”.!
Comments
Post a Comment