introducing almashoor islamic girls school in penang.

Dear friends

"I do not know the key to success, but the key to failure is trying to please everyone." - Bill Cosby

"Success is about creating benefit for all and enjoying the process. If you focus on this and adopt this definition, success is yours. "-Kelly Kim


Karangan SPM Tema Perpaduan

NAMA: DANDELIONS
KELAS: 5 ABRAR

TEMA 1: PERPADUAN

 Ke Arah Usaha Memupuk Perpaduan Kaum
            Malaysia telah berusaha secara serius ke arah melaksanakan perpaduan kaum. Langkah ini mula di ambil secara serius semenjak tercetusnya ‘Tragedi 13 Mei’. Ini dapat dilihat dengan penubuhan Majlis Perpaduan Negara dan Kementerian Perpaduan Negara.
            Furnival, (1956), pernah menyatakan bahawa negara-negara Dunia Ketiga pascamerdeka amat teruk keadaan hidup mereka. Ini kerana penjajah yang mengamalkan prinsip ‘pecah dan perintah’ tidak banyak membantu di dalam urusan menguruskan negara. Falsafah sedemikian telah mewujudkan dan mengukuhkan lagi dasar pluralisme atau suatu bentuk masyarakat berbilang kaum di mana ‘mereka bercampur tetapi tidak bersatu’. Falsafah ini lebih banyak mendatangkan masalah sosial dan politik kepada negara. Dr. Chandra Muzaffar ada menyebut bahawa masyarakat kita lebih cenderung kepada hubungan fungsional daripada hubungan empatetik.
            Kita sedar bahawa perpaduan kaum adalah penentu terhadap kestabilan politik, sosial dan ekonomi negara. Perpaduan ini sudah semestinya menuntut hubungan empatetik daripada semua yang terlibat. Dalam konteks ini, Malaysia tidak sunyi dari menghadapi masalah. Ini kerana kepercayaan dan perbezaan agama tidak memungkinkan proses asimilasi berlaku. Ini kerana setiap kaum melihat bahawa budaya dan tamadun mereka masing-masing lebih dominan dari yang lain. Terdapat banyak elemen ketamadunan yang boleh mereka jadikan asas untuk menyokong kelangsungan budaya mereka.
            Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, (1995), dengan jelas menyatakan konsep perpaduan kaum tidak lagi bertunjangkan kepada konsep yang berasaskan budaya Melayu. Untuk mewujudkan bangsa Malaysia, rakyat mesti menerima perubahan kewujudan masing-masing seadanya tanpa mengira kaum dan agama. Ini bermakna rakyat Malaysia harus dilihat sebagai Melayu, Cina dan India sebagaimana terpancar melalui amalan budaya maing-masing. Konsep ini jelas menunjukkan kecondongan kepada pihak-pihak tertentu dan sesuai dengan konsep pluralisme yang dibawanya. Pendirian kerajaan terhadap perpaduan kaum dilihat sebagai berdiri atas platform yang berbeza jika dilihat pada matlamat yang didokong oleh Wawasan 2020. Ini kerana bangsa Malaysia wujud tanpa sebarang diskriminasi sama ada dari segi warna kulit dan amalan budaya. Konsep ini dilihat ke arah konsep asimilasi. Dalam konteks semasa, dasar perpaduan yang diperkenalkan kerajaan Malaysia amat mesra dan bertoleransi terhadap bahasa etnik minoriti. Penggunaan bahasa etnik minoriti tidak pernah dikenakan hukuman malah tidak pernah dilarang penggunaannya.
            Pendidikan merupakan tunjang utama kepada perpaduan kaum di Malaysia. Ini selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara yang mempunyai dasar-dasar tertentu yang dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu-padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan. Jelaslah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu-padu dalam memenuhi konsep ‘1Malaysia’ seperti yang dihasratkan oleh kerajaan. Kurikulum yang berorientasikan Malaysia dirangka bukan sahaja untuk tujuan akademik malah memupuk semangat perpaduan di kalangan murid. Hanya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan di kalangan masyarakat.
            Namun begitu kadangkala terdapat usaha jitu kerajaan untuk memakmurkan dan menyuburkan perpaduan kaum melalui program perpaduan kaum antara masyarakat berbilang etnik telah banyak terganggu dan kadangkala terbantut oleh isu tertentu. Kalau kita merujuk Perlembagaan Malaysia, Artikel 152 (memberi hak penggunaan bahasa minoriti) seakan-akan menimbulkan konflik dengan Artikel 153 (menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan). Artikel 152 ini dilihat telah menyuburkan kewujudan sekolah-sekolah monoetnik (sekolah jenis kebangsaan – SJK) dan media massa monoetnik (akhbar, majalah, radio, saluran televisyen dan sebagainya) yang memberi tumpuan kepada etnik-etnik yang diwakilinya melalui bahasa ibunda masing-masing. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa papan tanda iklan di kedai-kedai di bandar-bandar di Malaysia lebih mengutamakan bahasa ibunda masing-masing. Jika ada bahasa Melayu pun, saiznya lebih kecil berbanding dengan bahasa ibunda pemilik kedai tersebut dan tidak mementingkan nahu tatabahasa Melayu yang betul.
            Dalam keterasingan ini, ia tidak menggalakkan perpaduan kaum melalui pertembungan budaya. Hal ini semakin rumit kerana institusi politik di negara kita juga berteraskan falsafah monoetnik yang turut memakmurkan konsep pluralisme Furnival.
            Tidak salah untuk memperjuangkan nasib bangsa sendiri tetapi jangan terlalu rasis dan menekan serta menjatuhkan maruah bangsa lain. Peribahasa Melayu ada menyebut ‘sedangkan lidah lagi tergigit’, inikan pula suasana kepelbagaian etnik di Malaysia yang bersandar kepada perbezaan bahasa, budaya dan agama sebagai komponen sensitif yang menuntut toleransi tinggi sesama kita. Kita tidak boleh memandang ringan perkembangan etnik semasa ini. Kita bertuah kerana Malaysia tidak mengamalkan konsep melting bowl atau ‘mangkuk pelebur’ sebagai pendekatan utama menyatukan kepelbagaian etnik sebagaimana yang diamalkan di Amerika dan beberapa buah negara Eropah. Sebaliknya, Malaysia mengamalkan konsep salad bowl atau ‘mangkuk sayur-sayuran’ yang tidak meleburkan mana-mana unsur etnik sebaliknya menyatukan pelbagai warna kulit dan budaya dalam satu persekitaran hidup yang harmonis.
            Jika semua golongan masyarakat berganding bahu dan bersatu, usaha Perdana Menteri memperkenalkan konsep dan gagasan 1Malaysia sememangnya sangat berbaloi. Terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada mayarakat mahupun negara. Masyarakat sepatutnya mengamalkan budaya tolak ansur dan memperteguh kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa akan datang. Kejayaan menyuburkan perpaduan kaum ini haruslah dimulakan dengan semangat kecintaan yang tinggi daripada setiap rakyat Malaysia. Semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan demi kelangsungan negara yang tercinta.


#smkapalmashoor   #spm cemerlang

Comments

Popular Posts

Online Calculator Scientific