Contoh Karangan SPM Tema Kekeluargaan
TEMA
3: KEKELUARGAAN
Berikan
pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Profesor Di raja Ungku Aziz pernah
mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu
bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka. Kata-kata ini jelas
menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang
sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Anak-anak merupakan
anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai. Ibu bapa bertanggungjawab untuk
mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa
bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri
anak-anak mereka. Anak-anak ibarat
sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Persoalannya, apakah peranan keluarga
khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak? Pada pendapat saya,
jawapannya sudah pasti tugas dan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga
terutama seorang insan yang bergelar ketua keluarga amat penting dan pelbagai
dalam melahirkan sahsiah terbilang dalam kalangan anak-anak mereka.
Ibu bapa memainkan peranan penting bagi
memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama yang
sempurna dalam diri anak-anak. Pepatah sering menyatakan bahawa melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan
agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak
dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan
negatif. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara
baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan. Selain itu, anak-anak juga akan
membesar dengan berpandukan ajaran agama. Didikan agama yang sempurna merupakan
benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala
sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan
agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya. Sebagai contoh, jika
sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan
mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu
juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk
membentuk sahsiah anak-anak.
Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa
berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak
mempunyai sahsiah yang baik. Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia
setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang
lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang
lebih tua memiliki sahsiah yang baik, sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi
oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya
kuah kalau tidak ke nasi. Sebagai contohnya, jika ahli keluarga yang lebih
dewasa rajin membaca, sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana
demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca. Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa
kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara
menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Pernyataan di atas jelas menunjukkan betapa
besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan
sahsiah anak-anak. Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi
anak-anak. Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat
awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik, maka akan baik dan
eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak –anak yang sering mencontohi
perbuatan ibu bapa yang baik, tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang
boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa
memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Di samping itu, ibu bapa juga
perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang bagi
melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah
memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak
yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang.
Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak
Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak
kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada
anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali
menerima bantuan. Ibu bapa juga
hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan
kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama.
Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan
mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan
kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan
warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.
Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik
anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab. Ibu bapa harus menyediakan
jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak
perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju, menggosok pakaian dan
menyimpan baju dalam almari. Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat
sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka. Hal ini
amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang
dimiliki. Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di
rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan
tidak boros dalam berbelanja. Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang
sederhana akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya, tidak sombong
dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu
dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting
bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh. Tegasnya, pembentukan sahsiah anak-anak yang
baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup
yang sederhana dan bertanggungjawab.
Akhir sekali, ibu bapa perlulah
memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat
remaja. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh
anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya
memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak
lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya
kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa
tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak. Hal ini
demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi
akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di
muka keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang
berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih
awal, bak kata pepatah, beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan
siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar
rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal, sudah pasti
masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya, ibu bapa perlulah memantau
serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang
berperibadi mulia.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapatlah saya simpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
pembentukan sahsiah anak-anak. Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik,
ibu bapa perlulah menyedari akan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak
menjadi insan yang mulia. Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri
mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan. Hal ini penting kerana
pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri.
Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat
mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka kerana mereka merupakan
“role model” bagi anak-anak. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur
untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia. “Rumahku,
Syurgaku”
Contoh karangan A+ [SPM 2010]
PERANAN
ANAK-ANAK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
Pada era pascaglobalisasi ini, isu
keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi bicara semua rakyat
Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah
dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal
ini seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh
Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa
paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan
oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung
keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan
oleh anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu menyelesaikan masalah yang
menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu dipikul
anak-anak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana
berat sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang
cemerlang dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak
hendak seribu dalih dan oleh itu prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang
kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah
menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa
dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.
Sebenarnya, banyak prakarsa yang
boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa mereka antaranya
adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka. Tidakkah
semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia
diumumkan pasti ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah mereka
menyedari bahawa seorang insan yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan
air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang yang diraih oleh
anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu bapa
kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah
terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah
belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh
ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga kejayaan,
jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan
yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk mencapai
kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan
sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap
globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan
dalam pelajaran merupakan salah satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu
bapa.
Sedasawarsa ini, anak-anak yang
mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan salah satu elemen utama
dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan khas
kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan
bahawa anak-anak merupakan tonggak utama keluarga, jantung hati, permata
bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis
tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang utama keluarga
dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak
dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh
biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi insan yang
berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang
berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang
dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak
seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di
mana-mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah
laku mereka malah itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa
mereka.
Sementelahan pula, ibu bapa juga
akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka. Dalam menyoroti hal ini,
aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam Falsafah
Pendidikan Negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak
membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang
boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan menghormati orang tua mereka sama
ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat yang
sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman dengan
ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan
badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula,
anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan
sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa
yang berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah,
anak-anak hendaklah sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya
perkataan yang diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam
memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar nasihat
yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika
mereka belajar. Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari
mampu diserap dengan mudah tidak seperti masuk telinga kiri, keluar telinga
kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat seseorang anak terhadap
kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan mereka.
Yang berat sama dipikul, yang
ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering berlegar-legar dan
bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam
mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang
dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan
sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan
ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep
muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan
saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan
kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari diri daripada
segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan persekitaran.
Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan
malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga
tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan sesebuah
institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh Mahkamah
Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang menunjukkan bahawa
satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya,
memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu meringankan beban ibu
bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan untuk mewujudkan
kebahagiaan buat mereka.
Selain itu, prakarsa lain yang
boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah mendengar nasihat mereka.
Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat menyaksikan bahawa hampir
saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak menghiasi
muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa atau
pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Cuba kita renungkan
kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro
bertajuk, ‘Trajedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang sudah tua’. Wajarkah 9
orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini
tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan peribahasa seperti
kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar nasihat
sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur senja
mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah
air ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan
anak-anak itu juga. Deduksinya, memang izharlah bahawa jika seseorang anak
mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan
kepada ibu bapa mereka.
Tambahan lagi, mendoakan
kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh dilakukan untuk
membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua
perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa
ketika mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka
setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak
hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi
merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan
sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil
rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian
kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak hendaklah
mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki untuk
pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu bapa
mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi
merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang
apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya,
memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yang penting dan
utama untuk membahagiakan ibu bapa.
Secara kesimpulannya, memang
terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan
ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha membahagiakan ibu bapa
mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap
melepaskan batuk di tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada
ibu bapa mereka malah menjadi kayu ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan
yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan
yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu, selangkah
sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk
memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu
membawa evolusi bermakna dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya
merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan
seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka sebenarnya mampu menjadi khazanah
berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.
#nota pintar ini dihasilkan oleh dandelions team
#nota pintar ini dihasilkan oleh dandelions team
GAYA BAHASA
|
|||
Kosa Kata
Khususnya
terjebak
Prakarsa
Paradigma
Memacu
Mapan
Menunjangi
kancah
uslub
diraih
gerak-geri
sahih
signifikan
kebajikan
Deduksinya,
izharlah
kekerapan
rutin
istiqamah
dikecapi
Menangkis
Platform
Eksplisitnya
menyinggung
diserap
menguris
sekali gus
Mengaplikasikan
Melestarikan
kudsi
Tuntasnya
tunjang utama
|
Peribahasa
Anak-anak
ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain
tersebut.
melentur
buluh biarlah dari rebungnya
berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing
hendak
seribu daya tak hendak seribu dalih
madu
satu tong dirembes, rembesnya madu juga
ke
mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi
bagai
menatang minyak yang penuh
beringat
sebelum kena, berjimat sebelum habis
Pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara
sudah
terhantuk baru nak tengadah
seperti
masuk telinga kiri, keluar telinga kanan
kerana
alah bisa tegal biasa.
di
mana ada kemahuan, di situ ada jalan
melepaskan
batuk di tepi tangga
menyediakan
payung sebelum hujan
seperti
kacang lupakan kulit
umpama
mencurah air ke daun keladi
|
Istilah/ Frasa Menarik
membuka
minda
benteng
yang ampuh
terselit
seribu kepuasan dalam diri
mengikut
acuan
air
mata kegembiraan
tingkap
globalisasi kehidupan
usaha
tangga kejayaan
suri
teladan
menconteng
arang
nilai
kesederhanaan Berpandangan jauh
memantau
serta mengawasi
tiada
nokhtah pengakhiran
setahun
jagung
payung
keharmonian
budaya
yang sinonim
Pada era pascaglobalisasi ini
segenap
aspek kehidupan
acap
kali
Sedasawarsa
ini
tonggak
utama keluarga,
dipandang
sinis
hedonisme
serta panji-panji kejahatan
keperibadian
yang unggul
imej
dan maruah
kunci
kebahagiaan
tersimpul
rapi
Bertitik
tolak
Lanjutan
daripada hal ini
warna-warni
kebahagiaan dan keharmonian
Sementelahan
pula
Dalam
menyoroti hal ini
melahirkan
insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia
Bagi
menyingkap hal ini
hubungan
ukhwah
Dalam
memperincikan aspek intelektual
jurang
perpecahan
kayu
ukur falah
alam
fana
selangkah
sederap
meniti
kehidupan yang serba mencabar
keluarga
sakinah
khazanah
berharga
nusa
dan bangsa.
|
APB
“Rumahku,
Syurgaku”
aspek
jasmani, emosi, intelektual dan sosial
Falsafah
Pendidikan Negara
Tokoh-tokoh
pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh ke laut
menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi
penawar.
Kementerian
Wanita, Keluarga dan Masyarakat
|



Comments
Post a Comment