Contoh Karangan SPM Tema Alam Sekitar
TEMA 5: PENCEMARAN ALAM SEKITAR
Dalam kerancakan manusia mengejar kemajuan alaf
milenium kini, nilai-nilai material semakin memberkas dalam masyarakat madani
sehingga menyongsong kewarasan akal dan kemurnian nilai-nilai integriti.
Kemajuan yang berorientasikan keuntungan semata-mata seakan-akan mengikis
sehingga tandusnya pertimbangan manusia terhadap alam sekitar yang menjadi
warisan yang tidak ternilai harganya kepada anak watan penggerak masa hadapan.
Sedar tidak sedar, alam sekitar yang dahulunya merimbun memayungi lapisan bumi
semakin lenyap dek kerakusan manusia yang bersultan di mata beraja di hati.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan sebanyak 3.3 juta
manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara. Bilangan tersebut
tiga kali lebih tinggi daripada jumlah kematian yang disebabkan oleh kemalangan
kenderaan. Di Malaysia, kerajaan telah mengimplementasikan Akta Kualiti Alam
Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang bertujuan mencegah, menghapus,
mengawal pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekeliling dan daripada
pencemaran meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut, namun
pencemaran masih berlaku secara berleluasa. Atas faktor apakah yang menyebabkan
berlakunya masalah pencemaran ini? Siapakah dalang yang terlibat dalam kemelut
yang semakin pincang ini? Kupasan teliti akan dihuraikan bagi menjawab segala
persoalan ini.
Masalah pencemaran alam sekitar ini dikenal pasti
berpunca daripada tangan-tangan kotor individu yang tidak bertanggungjawab
dalam kalangan masyarakat. Hal ini terjadi kerana tiada kesedaran sivik dalam
diri mereka dan mereka sering memandang enteng tentang isu alam sekitar yang
kini menjadi hidangan wajib dalam berita-berita yang dipaparkan dalam media
massa arus perdana. Bagi sesetengah individu, mereka akan sewenang-wenangnya
membuang sampah merata-rata tanpa menghiraukan keadaan persekitaran. Walhal,
jika direnungkan andai ada seratus orang individu yang bersikap sedemikian
sudah semestinya alam sekitar akan menjadi kotor dan dipenuhi dengan
sampah-sarap. Sikap nafsi individu-individu ini semakin memburukkan fenomena
alam sekitar. Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah ke dalam
sungai dan longkang telah menyebabkan berlakunya pencemaran air sedangkan air merupakan
medium utama dalam melestarikan kelangsungan hidup. Ada juga antara individu
yang membuang puntung-puntung rokok dan melakukan pembakaran secara terbuka
sehingga menyebabkan kebakaran yang serius lantas menyebabkan pencemaran udara.
Kempen berkongsi kereta yang menguar-uarkan pronya dalam aspek kesesakan jalan
raya dan kontranya dalam aspek pencemaran udara juga tidak mendapat sambutan
hangat daripada pengguna jalan raya, ibarat mencurah air ke daun keladi.
Gas-gas karbon dioksida yang dilepaskan ke udara oleh kenderaan bermotor
seperti kereta, lori, bas, dan motosikal secara berlebihan akibat kedegilan
sikap individu yang menjadi pengguna jalan raya telah menyebabkan indeks udara
berada pada tahap yang membimbangkan bagi kesihatan marhaen dewasa ini.
Selain individu, organisasi seperti pemilik kilang
juga turut menjadi agen penyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar.
Terdapat kilang-kilang yang menjalankan operasi pengeluaran yang melibatkan
sisa toksik dalam pengeluaran mereka dan pada kebiasaannya kilang-kilang
tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuang sisa toksik tersebut terus
ke dalam laut dan sungai yang berdekatan dengan kawasan tersebut. Kebiasaan
yang melanggar lumrah alam ini sudah pasti akan mengakibatkan pencemaran air. Ekosistem
hidupan akuatik pasti terjejas akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab
pihak-pihak ini. Dalam pada itu, terdapat juga kilang-kilang yang melepaskan
asap tanpa pemasangan alat penapis udara seterusnya menyebabkan terjadinya
pencemaran udara. Walaupun sudah acap kali didenda, namun masih ada pemilik
kilang yang dihentak tak masuk, diumpil tak bergerak. Ada juga segelintir
pemilik premis-premis kilang tersebut yang mengelakkan diri daripada memberi
penjelasan dan menyelesaikan masalah yang dicipta oleh mereka tidak ubah
seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sama sekali tidak
dapat menyelesaikan kemelut yang semakin meruncing ini. Kemelut ini jika
dibiarkan sudah pasti akan memberi dampak yang malang kepada kondisi udara dan
air lantas menyebarkan pelbagai wabak penyakit yang akan menyerang kesihatan
marhaen. Bagaimana mungkin kemelut ini terus meruncing tanpa adanya prakarsa
yang pragmatik dan efisien daripada pihak-pihak yang terbabit atau penantian ini hanya sekadar menantikan
putih gagak hitam? Tepuk dada tanya selera.
Pembangunan secara tidak sistematik yang dijalankan
oleh pihak kerajaan atau pihak swasta tanpa memikirkan secara terperinci
kesan-kesan negatif yang akan timbul terutama yang melibatkan alam sekitar juga
merupakan faktor berlakunya pencemaran air, tanah, udara dan bunyi. Lebih teruk
lagi, jika hal ini dibiarkan berleluasa akan menyebabkan bencana alam seperti
tanah runtuh dan banjir. Bermula dengan pembinasaan kawasan tadahan hujan akan
menyebabkan hujan yang turun tidak dapat diserap ke dalam tanah akibat tiadanya
akar pokok yang berfungsi menyerap lebihan air yang mengalir. Hal ini akan
menyebabkan struktur tanah menjadi longgar sehingga menyebabkan berlakunya
tanah runtuh. Tanah yang dihanyutkan bersama-sama air hujan ini seterusnya
menyebabkan pencemaran sungai dan mendapan lumpur yang di bawa menyebabkan air
sungai menjadi semakin cetek. Penggunaan jentera yang terlalu banyak dalam
proses pembangunan sesuatu kawasan juga akan menghasilkan pencemaran bunyi dan
pencemaran udara jika jentera-jentera berteknologi tinggi tersebut mengeluarkan
asap yang berlebihan. Akibat daripada projek-projek pembangunan yang menolak
natijah alam maka terciptalah kemusnahan alam akibat corak yang dilukiskan oleh
manusia yang tiada pertimbangan dalam setiap keputusan yang diizharkan. Jika
keduniaan dan keuntungan bernoktah di hati, sudah pasti kewarasan dalam
pertimbangan ditolak ke tepi. Walau bagaimanapun, setiap sakit ada ubatnya.
Dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan ini, setiap pihak perlu
berhampar lapis, berlicin daun.
Hukum berdiri dengan sakti, adat berdiri dengan tanda.
Kurangnya bukti-bukti yang boleh mengheret individu yang terbabit dalam
pencemaran dan pemantauan yang tidak konsisten oleh pihak berkuasa juga dilihat
sebagai faktor penyumbang kepada pencemaran yang kini berleluasa tanpa mampu
dikekang. Peranan pihak berkuasa dilihat semakin kurang menyebabkan ramai
individu yang tidak bertanggungjawab membuat onar seperti tiada takut akan
antah. Undang-undang yang diimplementasikan dilihat sekadar hiasan perlembagaan
tanpa adanya penguatkuasaan. Pihak-pihak berkuasa khususnya pihak kerajaan
seharusnya membuka mata dan lebih peka terhadap pembangunan yang dijalankan
oleh semua pihak dengan mengambil kira masalah pencemaran yang bakal terjadi
dari setiap projek pembangunan yang menjadi ukur tara kemajuan negara tersebut
dan bukan hanya melihat kepada peningkatan taraf hidup masyarakat sahaja.
Perkara ini sangat penting untuk membantu mengurangkan pencemaran udara, air,
tanah dan bunyi, hasil daripada pembangunan pesat yang giat dijalankan dan
tingkah laku sesetengah organisasi dan individu yang semakin nafsi dan kurang
kesedaran sivik. Pihak kerajaan juga seharusnya mengambil tindakan drastik
dengan membuat serbuan ke tempat-tempat yang disyaki menjadi punca pencemaran
dengan segera kerana jika kerajaan kurang memainkan peranan dalam menilai
aspek-aspek kemaslahatan rakyat maka masalah pencemaran pasti berada di tahap
yang semakin membimbangkan. Perlukah sudah patah baru hendak melantai?
Natijahnya, jika setiap pihak mengambil langkah
sederap ibarat ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni, sudah pasti
kemelut ini dapat diatasi. Kupasan demi kupasan berkaitan punca-punca
pencemaran yang telah dikenal pasti ini harus diambil serius oleh semua pihak
dan organisasi agar belenggu yang merantai permasalahan pencemaran alam sekitar
seperti pencemaran air, udara, tanah dan bunyi ini dapat dirungkai dan
diselesaikan hingga ke akar cerucuknya. Hal ini penting untuk memastikan
kelestarian dan kehijauan flora dan fauna yang bebas daripada pencemaran dapat
dikekalkan dan diwariskan sebagai tatapan generasi masa hadapan yang akan
mendepani realiti dunia yang pantas berubah dan berkembang.
GAYA BAHASA
|
|||
Kosa Kata
memberkas
madani
menyongsong
mengimplementasikan
dalang
sewenang-wenangnya
marhaen
Ekosistem
dampak
kondisi
prakarsa
pragmatik
efisien
mendapan
natijah alam
dikekang
onar
drastik
kemaslahatan
belenggu
merantai
dirungkai
|
Peribahasa
ibarat
mencurah air ke daun keladi
dihentak
tak masuk, diumpil tak bergerak
seperti
enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing
Tepuk
dada tanya selera
berhampar
lapis, berlicin daun
Hukum
berdiri dengan sakti, adat berdiri dengan tanda
seperti
tiada takut akan antah
sudah
patah baru hendak melantai
|
Istilah/ Frasa Menarik
Dalam
kerancakan manusia mengejar kemajuan alaf milenium kini,
kewarasan
akal
Kemajuan
yang berorientasikan keuntungan
anak
watan
penggerak
masa hadapan
kerakusan
manusia
bersultan
di mata beraja di hati
tangan-tangan
kotor individu
memandang
enteng
hidangan
wajib
Sikap
nafsi
medium
utama dalam melestarikan kelangsungan hidup
agen
penyumbang
lumrah
alam
Jika
keduniaan dan keuntungan bernoktah di hati
membuka
mata
langkah
sederap
akar
cerucuknya
mendepani
realiti dunia yang pantas berubah dan berkembang
|
APB
.Kajian
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan sebanyak 3.3 juta manusia
mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara.
|


Dinamik๐๐๐
ReplyDeleteAssalam, terima kasih banyak2 bagi menyediakan sumber rujukan tambahan
ReplyDeletevery convenient,relaxing bcos of the music,good esssays thumbs up to creator of this blog
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian.
ReplyDeleteExcellent Essay. Thank you for sharing
ReplyDelete